Monday, November 12, 2012

Ketenangan yang dicari....

Di pagi hari, bangun mensucikan diri untuk solat subuh dan kemudiaannya berdoa dengan kusyuk dan tenang. Memohon dilimpahkan rahmat Allah kepada kita dan pasangan serta ahli keluarga. Lebih baik jika mampu bangun sebelum subuh memohon ampun membina kekuatan dalaman. Jangan lupa lazimkan hati dengan zikir pagi yang diajar Rasul SAW, yang membawa kita merenung erti hidup bertuhan dan tidak lupa zikir memohon perlindungan dari godaan syaitan. Bukankah syaitan punya misi mengucar-kacirkan persaudaraan, meruntuhkan pernikahan...? Jika hati kita kosong dari petunjuk tuhan, bersedialah menghadapi persengketaan yang dihembus syaitan yang berlegar di sekeliling kita. Jika ingin menegur kesilapan pasangan, berusahalah menegur dengan tenang. Jika timbul rasa marah dan tak puas hati dengan sesuatu isu, luahkan dan bincangkan dengan tenang. Masalah hidup dan tanggungjawab tidak pernah habis. Namun dalam rumahtangga, harus diusahakan masa untuk sembang-sembang memberi perhatian dan memberi sentuhan yang menenangkan. Ya, bukannya mudah untuk merasa tenang, bukannya mudah unuk ketenangan meliputi suasana rumahtangga kita. Tapi ia mudah dan selalu terjadi buat pasangan yang selalu mengikat hati dengan tuhan. Mempamer wajah yang tenang dengan senyuman kerana ia mengharap keredhaan tuhan. Melayani pasangan dengan baik, walaupun pasangan telah melukai hatinya, kerana ia memilih memaafkan kerana Allah. Bagaimana sekalipun sikap keras pasangannya, dia tetap memilih kelembutan dan kesabaran kerana Rasul adalah teladan.Ia tidak mahu membalas dengan keburukan, kerana hatinya amat yakin, di akhir kehidupan, semua ini adalah urusannya dengan tuhan.Pasangannya hanyalah satu bentuk kurniaan dan ujian Allah. Ayuh kita cipta ketenangan, dengan DIRI KITA SENDIRI yang memulakan memberi kemaafan, mencari sisi positif pasangan, memberi perhatian dan kasih sayang, membiasakan kelembutan dan kesabaran kerana kita sangat inginkan redha dan rahmat tuhan. Justeru, insan-insan yang memahami hakikat kehidupan, akan memperoleh ketenangan dalam pernikahan kerana Allah adalah tujuan, Rasul SAW menjadi suri teladan sepanjang zaman. Mungkinkah ada cara lain mencipta ketenangan jika tuhan selalu dibelakangkan, bimbingan rasul tidak dititik beratkan..?

No comments:

Post a Comment