Tuesday, September 11, 2012
realitinya....
Sempurnanya Allah mengatur perjalanan hidup manusia, dikurniakannya nikmat dan rahmat yang berterusan pada kita dalam setiap tahap kehidupan. Namun bersama dengan setiap anugerah Allah itu, datang ujian dan tanggungjawab yang berat. Salah satu anugerah Allah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia ialah kurniaan suami atau isteri dan pernikahan.
Suami adalah manusia biasa, bukan malaikat, juga berjuang dengan fitrahnya yang sentiasa ingin mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan fikiran dan perasaannya yang unik sebagai lelaki, yang semestinya berbeza dari minda dan jiwa seorang perempuan, seorang suami yang mengenal hakikat kehidupan akan berusaha memberi yang terbaik kepada perempuan yang sangat dekat dalam hidupnya, yang bernama isteri.
Dengan kelebihan fizikalnya, suami menjadi pelindung dan peneguh kepada isteri yang juga berjuang mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan kekuatan ilmu dan iman, seorang suami mampu menjadi pembimbing, penasihat dan teman terbaik pada isteri. Seorang suami juga bertanggungjawab mengetuai perancangan dan aturan masa depan keluarganya dengan membuat keputusan – keputusan penting untuk kebahagiaan dan keberkesanan keluarga yang dibina, tentunya ini dengan bantuan isteri yang menjadi pendorong utamanya.
Namun realiti waktu kini memaparkan sukarnya mencari lelaki yang mampu menjadi teman terbaik. Umpama mencari sebutir permata di kawasan pasir putih yang saujana mata memandang. Saudara muslimah di sana sini ada yang sering bersedih kerana keadaan suaminya yang nampak macho dan gagah, namun kurang rajin dan tidak produktif dengan tanggunggjawab kerja di luar rumah, juga tidak membantu kepenatan isteri mengurus rumahtangga. Jika pun tidak membantu kerja-kerja rumah, bantulah menghibur emosi isteri dengan pujian dan penghargaan. Jua kata-kata cinta yang menenangkan.
Kerap juga didengari, suami yang diharapkan berkongsi ilmu, sering tersasar dengan perbuatan yang tidak bermanfaat, yang mengundang duka di jiwa isteri. Suami yang diharapkan berkongsi kekuatan iman, rupanya sering lalai menunaikan solat dan tidak berminat mendalami agama, sedangkan jiwa isteri memutik rasa untuk mendalami agama Allah dan RasulNya. Isteri jua makan hati dengan akhlak suami yang kasar dan tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment